KEUSAHAWANAN & PERNIAGAAN
AZIZAH HANDICRAFT
Aziah Handicraft telah mula berkecimpung dalam dunia keusahawanan sejak tahun 1985. Bermula dengan latihan selama 2 tahun bersama tenaga pengajar dari Jepun, perusahaan ini telah diusahakan oleh Puan Nor Aziah binti Awang, dibantu oleh 10 orang pekerja tetap. Istimewanya, perusahaan ini dilakukan di rumah masing-masing memandang pekerja-pekerjanya agak terikat dengan tanggungjawab sebagai suri rumah. Namun begitu, atas dasar disiplin diri yang kuat, setiap pekerja akan menghantar hasil kerjanya pada masa yang telah ditetapkan. Bahan mentah seperti rotan halus dan rotan nipis diperolehi secara borong di Kuala Lumpur dengan harga antara RM15 hingga RM25 sekilo dan menggunakan beberapa peralatan moden seperti penyembur syelek, penebuk playwood, alat pemotong dan sebagainya.
Penghasilan produk berasakan rotan ini telah mendapat sambutan yang hangat dari dalam dan luar negara. Selain mendapat tempahan untuk hantaran dan hiasan hotel, produk berasaskan rotan ini juga turut mendapat tempahan dari luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Afrika melalui FELDA. Menurut Puan Aziah, mereka turut menjual sendiri produk mereka di beberapa karnival di dalam negeri termasuklah di Pesta Air Rompin, Hotel Swiss Garden, Melaka dan seluruh Malaysia selain menjualnya secara borong. Produk ini dijual dari harga RM2 hinggalah RM200 mengikut saiz dan tahap kreativiti.
(Sumber : Puan Noraziah Binti Awang, Pengusaha Handicraft)
UMMI BAHULU N CHIP PIC
Beralamat di Ummi Bahulu n Chip Pic, No. 2 Kawasan Industri Keratong 2, Bandar Tun Razak. Perusahaan kerepek ini telah diusahakan sejak Disember 1999. Diasaskan oleh Puan Seripah Enon Binti Syed Osman dengan bantuan 6 orang pekerja, perusahaan ini mampu menghasilkan pelbagai produk seperti pelbagai jenis kerepek, bahulu, kuih ros dan pelbagai makanan ringan dan tradisional lain. Paling istimewa, perusahaan makanan ini juga menghasilkan kerepek bayam yang sukar diperolehi di tempat lain.
Di bawah tampuk kepimpinan usahawan muda iaitu En Hasnizam Bin Salehuddin, perusahaan ini bertambah maju dengan penggunaan mesin-mesin yang lebih moden bagi menghasilkan produk yang lebih bermutu. Selain mendapat sambutan ramai dalam kalangan penduduk tempatan, pasarannya turut berkembang di jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Daerah Rompin dan Kuantan. Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi En Hasnizam di alamat emailnya: nietzam@yahoo.com
(Sumber : En Hasnizam Bin Salehuddin, Pengarah Urusan Ummi Bahulu n Chip Pic)